BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, September 05, 2006

Keberkatan Nisfu Sya'aban

Nisfu Sya'aban jatuh pada hari Khamis malam Jumaat (bersamaan dengan 7hb September) selepas waktu maghrib, pada 14 Sya'aban 1427H.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil saat keemasan ini untuk menutup catatan amal ibadah kita kepada Allah dengan baik dan sempurna dan seterusnya berazam untuk memperbaiki diri kita untuk catatan yang baru.

Nisfu sya'aban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Catatan pertama yang akan dicatatkan di buku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya'aban bermula pada 14 hb sya'aban sebaik sahaja masuk waktu maghrib).

Berikut adalah antara amal ibadah yang boleh dilakukan pada hari Nisfu Sya'aban:

1. Selepas solat maghrib (15 Sya'aban, malam ~ 7 September 2006)
Solat sunat nisfu sya'aban, 2 rakaat
Rakaat 1 : baca Al-Fatihah dan surah Al-Qadar 1 kali
Rakaat 2 : baca Al-Fatihah & surah Al-Ikhlas 3 kali

2. Membaca Yasin 3 kali selepas solat Maghrib (15 Sya'aban, malam ~ 7 September 2006)

i) Selepas Yasin pertama : mohon dipanjangkan umur untuk beribadat kepada Allah

ii) Selepas Yasin kedua : mohon rezeki yang halal untuk beribadat kepada Allah

iii) Selepas Yasin ketiga : mohon ditetapkan iman dan Islam dan mati di dalam iman dan pohonlah segala yang baik;

Kemudian baca Istighfar 11 kali dan selawat 11 kali

Baca doa nisfu Sya'aban (ada didalam Yasin Majmuk)

3. Baca surah ikhlas 1000 kali

4. Berpuasa pada siangnya

Abul Khair Al Talaqaani r.a. mengira nama-nama malam Nisfu Sya'aban sebanyak 22.

Antaranya yang termasyhur adalah:

1. Malam Dimustajabkan Doa
2. Malam Pembahagian Takdir
3. Malam Rahmat
4. Malam Berkat
5. Malam Pengampunan (Taubat)
6. Malam Penebusan
7. Malam Syafaat
8. Malam Penulisan
9. Malam Keagungan dan Kemuliaan
10. Malam Rezeki
11. Malam Hari Raya Para Malaikat
12. Malam Penghidupan

Antara kelebihan bulan Sya'aban:

1. Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Sya'aban maka Allah haramkan tubuhnya dari api neraka dan dia akan menjadi teman kepada nabi Allah, Yusof a.s., di dalam syurga.

2. Riwayat dari Osman Bin Abi Al-As, Sabda Nabi Muhammad (saw): pada malam nisfu Sya'aban setelah berlalu 1 pertiga malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman: Adakah orang-orang yang meminta maka Aku perkenankan permintannya, adakah orang yang meminta ampun maka aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka aku terima taubatnya dan diampunkan semua orang mukmin lelaki dan perempuan, melainkan orang yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.

Sebaik-baiknya minta ampun dengan ibu bapa sebelum hari nisfu sya'aban kerana amalan kita akan terhalang dari di angkat ke langit sekiranya kita derhaka/berdosa dengan ibu bapa kita.

Wallahua'alam.

0 comments: