BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 13, 2006

Ramadhan Bakal Menjelma

Dalam tempoh belasan hari lagi, Ramadhan bakal menjelma.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Fadhilat Ramadhan telah dinyatakan di dalam bermacam hadith dan ayat Al-Quran. Di antaranya – yang agak popular, sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan yang diberkati, maka Allah SWT memfardhukan ke atas kamu berpuasa pada bulan tersebut, bulan yang dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka, syaitan-syaitan dibelenggu. Serta di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terhalang daripada kebaikan malam itu maka terhalanglah ia daripada segala kebaikan.” (Al-Hadith)

Di dalam hadith yang lain, riwayat Bukhari dan Muslim:
“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keikhlasan kepada Allah maka diampunkan kepada Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu."

Berdasarkan himpunan hadith sahih beserta kalam yang dipetik dari Al-Quran, dapat disimpulkan bahawa di antara kelebihan Ramadhan Al-Mubarak:

1. Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar yakni malam yang diturunkan Al-Quran.

2. Lailatul Qadar juga yang lebih baik dari seribu bulan. Inilah yang termaktub di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran ini pada Lailatul Qadar. Dan apakah kamu mengetahui apakah kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadr: 1-3)

3. Bulan yang dibuka pintu syurga. Di dalam hadith yang lain: “Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang dinamakan ‘pintu Rayyan’, ertinya; orang yang sudah kenyang kerana minum, iaitu pintu yang hanya dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti…”

4. Bulan yang ditutup pintu neraka.

5. Bulan yang syaitan-syaitan dibelenggu

6. Bulan keampunan, berdasarkah hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban, Hasan Sahih menurut Al-Albani.

7. Melaksanakan umrah di dalam bulan Ramadhan bersamaan dengan pahala mengerjakan haji, berdasarkan hadith riwayat Al-Bukhari.

Bagaimana pula dengan ganjaran yang menanti Muslim yang memenuhi tuntutan untuk berpuasa di dalam bulan Ramadhan? Di antaranya:

1. Ganjaran pahala amalan di dalam bulan Ramadhan dipertingkatkan sebanyak 70 kali ganda.

Hadith Rasulullah SAW: “Bulan Ramadhan ini ganjarannya dipertingkatkan sebanyak 70 kali ganda.”

2. Memperolehi dua kegembiraan berdasarkan hadith yang sahih riwayat An-Nasa’i: “Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan; kegembiraan yang pertama ketika berbuka puasa dan kegembiraan yang lain ialah ketika menemui Allah.”

3. Diampunkan oleh Allah dosa-dosa yang terdahulu sekiranya didirikan dengan penuh
keikhlasan, berdasarkan hadith Mutafaq ‘alaih.

4. Puasa sebagai perisai menghadapi ‘musuh’ hawa nafsu.

5. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum dari kasturi di sisi Allah SWT.

6. Doa orang yang berpuasa tidak ditolak oleh Allah SWT, berdasarkan hadith riwayat
At-Tirmidzi, disahihkan oleh Al-Albani.

Persiapan Individu Menghadapi Ramadhan

Setiap individu perlu bersiap-sedia untuk menanti ketibaan Ramadhan. Pelbagai amalan perlu ditingkatkan, demi mencapai fadhilat yang tersenarai tatkala Ramadhan. Inilah hasrat yang pastinya ingin dicapai oleh semua Muslm yang hakiki, demi mencapai mardhatillah.

Memfokuskan pada ibadah puasa, persiapan yang boleh dilakukan demi memperkukuhkan amalan berpuasa fardhu sempena Ramadhan kelak, semestinya amalan berpuasa sunat. Di kala menghitung detik Ramadhan yang tinggal tiga belasan hari, masih belum terlambat untuk kita berpuasa sunat. Puasa-puasa sunat yang boleh kita laksanakan di dalam ‘tempoh kecederaan’ ini adalah:

1. Berpuasa pada Isnin dan Khamis
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA: “Bahawa Rasululullah lebih sering berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, lalu ditanyakan orang kepadanya apa sebabnya.

Maka ujarnya: “Sesungguhnya amalan-amalan itu dipersembahkan pada setiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan mengampuni setiap Muslim, kecuali dua orang yang bermusuhan, maka firman-Nya; “Tangguhkan kedua mereka itu!” (Riwayat Ahmad)

2. Puasa Nabi Daud
Puasa Nabi Daud ialah puasa secara berselang seli, yakni berpuasa, keesokannya tidak berpuasa dan seterusnya. Terdapat dua hadith yang menyokong amalan ini. Hadith yang pertama;Sabda Rasulullah SAW: “Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud. Beliau tidur seperdua malam dan bangun pada sepertiganya kemudian tidur pula seperenamnya. Beliau berpuasa sehari kemudian berbuka sehari (tidak berpuasa)” (Riwayat Ahmad) Hadith yang lain pula apabila Abdullah bin ‘Amar mendesak Rasulullah SAW agar menyuruhnya berpuasa lebih daripada apa yang diperintahkannya, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Kalau begitu, berpuasalah seperti puasa Nabi Daud, dan jangan lebih lagi!”

Laksanakanlah amalan puasa sunat selagi mana diberikan nikmat kehidupan dan kesihatan oleh Allah SWT. Jangan sehingga kedua-dua peluang ditarik balik oleh Allah SWT, barulah kita merintih dan menyesal; mengapa tidak dilaksanakan amalan-amalan tersebut sebelum ini.

Adakah kedudukan Ramadhan masih jauh dari kita? Tidak! Hanyalah sekangkang kera dari tanggal hari ini, maka jangan berlengah lagi. Pastikan kehadiran Ramadhan disambut dengan hati yang terbuka yakni kita cukup bersedia untuk merebut peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT, sekali dalam setahun. Jangan dilepaskan peluang keemasan ini.

0 comments: